Sunday, June 20, 2010

CUTI YANG MELETIHKAN TAPI SERONOK

Awal cuti pergi Penang, pertengahannya ke Kuala Lumpur dan di penghujungnya ke Kelantan. Hari ini ahad sempat periksa pokok cili dan terung. Nampaknya pokok terung ini tiada sebarang masalah.  
Kebannyakan pokok cili pula telah mula mengeluarkan buah, cuma beberapa pokok telah diserang penyakit kerinting.
Tak boleh tangguh, walaupun dah senja ambil tong bancuh racun serangga terus sembur.
Masih sempat ke sawah ... lega kerana nampaknya racun sistemik yang kami gunakan menunjukkan kesan positif bila melihat banyak induk ulat batang dan bena  ini kelihatan mati.  Sawah adalah lapangan eksperimen kami untuk melihat kesan penggunaan sesuatu bahan kimia.  Seronok bila kita mentahui teori dan dapat menguji serta melihat kesan sesuatu bahan kimia.
Esok nak ke Melaka untuk satu mesyuarat analisis, bila balik khamis nanti kena fikirkan bagaimana nak mengatasi masalah kepinding (kesing ) yang telah mula kelihatan di sawah.  Minggu ini padi telah mula mengurai, jadi bukan semua bahan kimia boleh digunakan secara sesuka hati pada saat pokok padi yang sensitif ini kerana tersalah langkah padi tidak akan berisi.
Ini adalah contoh kerosakan padi akibat kesing/kesisang/cenangau

Friday, June 18, 2010

PADI 77 HLT

Padi ketika ini sangat sensitif, perlu berhati hati dengan penggunaan sebarang bahan kimia(racun) kerana padi telah mula mengurai dan bijinya belum berisi. 
Adalah lebih baik menggunakan mesin rumput untuk kawalan rumpai di atas batas, penggunaan racun akan melembutkan tanah ( tiada cengkaman akar ).
Kawalan rumpai secara merumput di tepi batas adalah lebih selamat berbanding menggunakan racun yang boleh merencatkan padi.

Friday, June 11, 2010

HUJAN PADA 69 HLT

Agak aneh kerana kami terpaksa mengusahakan tanah sawah ini dengan berharapkan hujan sebagai sumber pengairan yang utama.  Cumanya dengan rahmat Allah setiap kali kami memerlukan air, hujan akan turun.  Kali pertama selepas "menyambau", kemudian  semasa aktiviti pembajaan yang pertama dan hari ini hujan juga turun dengan lebatnya.  Setiap kali hujan kami akan "kepung"  agar air hujan ini mampu bertahan lama (air hujan ini  boleh bertahan sehingga 2 minggu ).  Sumber air lain yang kami perolehi adalah dari budi baik lebihan air jiran-jiran sawah.
Esok 70 HLT kami akan melakukan kawalan kimia, dengan bantuan air hujan yang melimpah ini akan meninggikan paras air sawah ini. Paras air yang dalam akan memaksa serangga naik ke atas maka ini akan memudahkan tugas menyembur racun agar tepat ke sasaran.
 Gambar saluran masuk standard yang dibina oleh JPS kami tutup terus( bagi mengelakkan air hujan yang kami takung mengalir keluar) kerana air pengairan ini tidak pernah sampai ke paras tersebut.

Thursday, June 10, 2010

CARA CARA KAWALAN BENA

Ada beberapa persoalan yang sering diperkatakan oleh petani di kedai kopi tentang cara-cara kawalan ini, antara yang sempat saya ingati:
1. Unsur N sangat penting untuk hasil yang tinggi ( 170 kg N ) untuk hasil 10 tan . Urea cuma 46%N. Tanah yang memang masam menambah kurangnya kecekapan menyerap N oleh padi.
2.  Penanaman serentak : rata-rata petani terlalu bergantung kepada "nangau" kuasa dominan yang mengatur gerak kerja dan pergerakan traktor/jentera tani. Kerja menanam/menabur memakan masa lebih 2 minggu.
3.  Air sawah : Masih ramai yang merungut dan mengatakan masalah yang sukar untuk diselesaikan. Ada banyak sawah/sebahagian dari petak sawah yang masih bermasalah dengan air. Kesefahaman pengurusan air antara petani perlu dicapai
4. Kekalkan paras air hingga 2 minggu sebelum menuai : Tanah Sg Manik Labu Kubong kebanyakannya lembik- masalah jentera menuai akan terbenam bila musim hujan.
5. MSJ : petani kurang kesedaran kawalan biologi yang lambat berkesan.  Sekadar mengenali beberapa jenis serangga tetapi kurang pengetahuan tentang kawalan serangga melalui hidupan seni ( bakteria, virus dll) 
6.  Kawalan kimia selepas 40 hari : Serangan ulat  ratus, ulat batang dan ulat gulung daun telah bermula pada hari ke 10 HLT.  Kebanyakan racun kimia untuk ulat ini akan membunuh MSJ (pepatung, labah-labah dll).
7. Racun yang disyorkan : Racun "yang tidak disyorkan" walaupun berbahaya kepada kesihatan tetapi menarik minat kerana harga yang rendah.  Ada ramai petani yang menggunakan lebih 6 jenis racun kimia untuk setiap semburan.

Hampir tiada petani yang memperkatakan kaedah bioteknologi / EM ..............??????????

Apapun saya berminat dengan beberapa cara tersebut:
1.  Hanya menabur baja urea pada kuantiti paling sedikit : gunakan kapur utk meningkatkan kecekapan.
     Padi yang kurus dan tidak padat biasanya tidak menarik perhatian bena.
2. Kekalkan paras air sawah. Tahan air hujan dan kurangkan kebocoran batas sawah
3. Tebas dan bakar jerami padi pada kadar segera selepas menuai

BUAH CILI PADA 6 JUN 2010

Cili kami telah mula berbuah . Gambar diambil pada 6 jun 2010.  Tarikh diubah ke polibeg pada 5 Mei 2010.
Bagi mengelakkan pokok cili ini dari tumbang akibat beban yang semakin bertambah, kami telah menambah sokongan kepada  4 unit tali sokongan bagi setiap polibeg.

KAWALAN RUMPAI SECARA INSANI ( 68 HLT )

Bahagian sawah yang kering biasanya akan mengundang masalah rumpai. Pokok padi bercampur dengan rumpai akan menyebabkan kawasan berkenaan sangat padat dan menarik minat kediaman serangga. 


Bagi mengawal rumpai di atas kami menggunakan racun selektif di atas pada kadar tertentu.  Semburan adalah secara layang pada bahagian atas daun rumpai. Kawalan kimia untuk rumpai ini hanya boleh dilakukan sebelum ada tanda-tanda  padi  mahu  bunting (sebelum 60HLT ).



...cumanya selepas rumpai ini menjukkan tanda-tanda "terencat" kerana terbakar akibat racun tersebut, masalah lain pula yang timbul,kawasan ini  telah menarik minat bena dengan ciri-ciri suhu rendah dan cahaya "gelap" di bawah rimbunan tumbuhan itu.
Cara paling berkesan kami cabut sahaja rumpai itu dengan tangan (kaedah insani).  Hasilnya memberi ruang yang lebih "selesa" kepada pokok padi ini.

Monday, June 7, 2010

PADI 65 HLT (HARI LEPAS TABUR )- SEMBURAN BASAH, SEMBURAN BERKABUS

Kira-kira dua minggu lagi padi ini akan mula "mengurai".  Selepas tepoh itu kami perlu berhati-hati dalam penggunaan bahan kimia, tersalah pilih akan menjejaskan hasil.
Hasrat kami bagi memastikan daun padi ini tumbuh tegak ternyata berhasil.  Daun yang tegak memudahkan kawalan serangga disamping penerimaan cahaya yang lebih berkesan bagi setiap helai daun.  
 
Bagi memastikan daun ini kekal tegak kami mengurangkan penggunaan baja urea, sebaliknnya menggunakan kapur cecair untuk menambah kecekapan penyerapan nutrien oleh akar padi.  Kesannya daun akan sedikit kekuningan, namun itu tidak menjadi masalah kerana matlamat kita ialah buah padi, daun yang terlalu hijau lagi lebat hanya akan mengundang masalah perosak dan penyakit.
Cuma di beberapa bahagian sawah ini kami masih bergelut dengan masalah air, kawasan yang kering ini kini telah menjadi "tumpuan bena" yang bersarang "di bawah" rimbunan pokok padi.
Amalan meracun yang salah tidak akan dapat menyelesaikan masalah bena:
1.  Sukatan mestilah tepat.
2. Keadah meracun juga kena tepat ke sasaran, semburan hanya secara berkabus pada bahagian atas pucuk daun padi tidak akan menyelesaikan masalah bena.

Bagi menyelesaikan masalah bena antara racun yang kami gunakan ialah:
1. Confidor. RM 180/500ml
2. Sarzorin. RM 60/1 lt
3. Actra.
4. Malathion. RM 60/4 lt
5.Lanmertin. RM 70 / 500ml
nota; penggunaan racun tersebut adalah secara berselang seli.
 
Setiap kali kawalan kimia kami akan mencampurkan racun di atas dengan racun berjenama Match atau Alosa bagi mengawal ulat dan penetasan telur serangga.

  ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO