Monday, December 20, 2010

PENYAKIT

Penyakit ini baru pertama kali menyerang kawasan Labu Kubong. Sesetengah sawah kerosakannya semakin ketara. Setakat ini  kami telah melakukan 5 kali kawalan kimia utk 55 HLT .
1. Provethon+Match+Flint (racun kulat )- 30 HLT
2. Padan + 505-33 HLT
3. Rigent + Confidor + Flint (racun kulat )-40 HLT
4. Provethon+Match+ Antrocol (Racun Kulat -racun bantuan)-45 HLT
5. Rigent + Confidor + Mocerin+ Antrocol-50 HLT

gambar simptom yg hampir menyamai tanda tanda  serangan ulat batang adalah seperti di bawah :





Sunday, December 19, 2010

Nominee ( pada kadar 375 ml utk 2 ha ) + Basmin ( 1/2 dari kadar yg disyorkan ) ..semburan sawah kering 9 HLT

Kawan rumpai kali pertama mula dilakukan pada  pagi 2 Nov 2010 ( 9 hlt ). Racun rumpai yang digunakan ialah Nominee ( pada kadar 375 ml utk 2 ha ) + Basmin ( 1/2 dari kadar yg disyorkan ) menggunakan 16 tong semburan/2 ha pada kadar  ( 20 liter utk 1 tong ) . Keadaan sawah sewaktu semburan adalah kering - Air sawah mula di masukkan sedikit demi sedikit mulai  pada lewat petang 2 Nov 2010 ( 9 Hlt )- hari yg sama selepas meracun.

Selepas 2 minggu padi kami kelihatan agak terencat, jenuh berhempas pulas utk memulihkan padi ( melalui kaedah pembajaan :1 beg baja sebatian ( 15:15 : 15 ) + 2 beg baja urea + 3 beg baja kompaud ( baja bantuan ) + 1 beg baja tambahan )

Namun seminggu kemudian kami di timpa pula dgn serangan ulat ratus yg kronik di seluruh sawah ..inilah akibat kerana kami tidak membuat sebarang kawalan serangga sebaik air mula di masukkan ke sawah.  Kami tidak dapat membuat kawalan serangga kerana bimbang akan "kesihatan" padi yg masih belum pulih dari "terencat". Pada peringkat ini bila melihat keadaan sawah rasa lemah "lutut"... kerosakan yg kronik di seluruh sawah. Kami terasa sangat letih dan kecewa ..ulat menyerang begitu cepat, kerosakan ada di mana-mana.
 
Kerana masalah "lubang" yg luas kami mengambil keputusan MENYULAM utk  mana mana bahagian padi yg mengalami kerosakan parah.
Gambar di tempat yang sama 57 HLT.... selepas di sulam pada 28 HLT...syukur semua "lubang" telah tertutup dgn anak anak padi berkat tidak putus asa utk berusaha.


Baru beberapa hari lepas saya mendapat kadar yang sepatutnya digunakan seperti di bawah:

Tuesday, October 26, 2010

TANAMAN

Dunia hanyalah SEMENTARA, Diibaratkan ladang untuk hasilnya diakhirat kelak, Tanamlah tanaman bermacam-macam didunia (ILMU), Suburkan tanaman dengan pelbagai cara (BERAMAL), Semailah pohon-pohon yang boleh dimakan hasilnya (IMAN), Supaya, di akhirat nanti.. Kita hidup senang di syurga yang ABADI 

Sunday, October 24, 2010

Pusingan Berikutnya...

Musim lalu selepas  kami berjaya menuai dgn hasil yang "duduk dan berdiri " sama tinggi dgn pesawah veteran berasal dari kedah yg lebih pengalaman & sepenuh masa, maka bagi musim pusingan kali ini kami merancang strategi yg lebih teratur.
Memulakannya dgn " memanjat" bukit Cameron Highland bagi membuat survey pelbagai bahan kimia tani bagi kegunaan musim kali ini.
Selepas proses penyediaan tanah( membajak ) dan pengairan yg lebih teratur, sepanjang hari ini kami melakukan aktiviti pengapuran bagi mengurangkan kemasaman tanah dgn meningkatkan nilai pH.
Kami juga merendam biji benih padi dgn bahan kimia yg mampu "merangsang" percambahan. Bagi kawalan rumpai terutama padi angin kami memanipulasi paras air.  Bagi musim ini juga kami bertindak agak " berani" dgn mencuba pengunaan racun pracambah 2,4 D pada peringkat awal penyediaan tanah.
Kami juga mengubah suai carta gant yang lalu dgn carta gant baru yg lebih teratur selepas lebih mengenali "karenah dan kelakuan" tapak sawah kami.

Thursday, July 15, 2010

101 HLT

Setelah melalui perjalanan selama 101 hari beginilah rupa sawah kami.  Kami sengaja menahan air ini  dari dibuang ,menunggu kepulangan anak dari asrama pada hujung minggu ini.  Kami bercadang untuk terjun ramai-ramai ke dalam parit ini untuk menangkap ikan.
Tadi Pak Halim jiran sawahku mengeluh menghitung "kerugian".... kerana musim padi kami bermula dgn masalah air kemudian serangan ulat batang, diikuti serangan bena hijau & perang serta padi angin. Bila dijual pula harga padi telah turun dari RM 1200 kepada RM 1050 sahaja.
 Keluhan Pak Halim & perjalanan sejauh ini menginsafkan kami betapa getir dan payahnya kehidupan sebagai petani.  Mereka merintih dgn masalah air, berjemur di bawah terik matahari, mengharap turunnya hujan rahmat, tidur yang tak lena dengan masalah serangga, jenuh berdikit utk membeli input tani, saban hari bergelumbang dgn sisa toksik, pasrah tak berupaya dengan harga jualan padi, menanti setiap hari yang berlalu dgn penuh harapan dgn matlamat membekalkan makanan utk sesuap nasi..........dan seribu satu rasa bergelora yang hanya "dinikmati" oleh mereka insan yang "terpilih".

"Semakin tunduk semakin berisi" begitulah proses yang dilalui pada minggu minggu terakhir ini.  Padi sebahagiannya telah berwarna kuning, sebahagian lagi sedang mengisi "susu".  Setelah penuh setiap tangkai akan semakin tunduk.

Sunday, July 4, 2010

90 Hari Lepas Tabur ( 90 HLT)


Hampir 90 % padi telah mula mengurai pada 90 HLT.  Esok kena ke Kuantan jadi minta tolong sahabat utk melakukan kawalan kimia bagi mencegah perosak, 
Kawalan kali ini kami menggunakan 2 jenis racun serangga. Racun serangga yang pertama menghalau serangga melalui bau busuk dan racun yang kedua pula membunuh terus serangga yang terkena semburan.
Cili ini sudah terlalu hampir utk dituai.. Balik nanti ada tugasan -Sokongan pokok cili perlu diperbaiki agar tidak tumbang  
Beberapa pokok terung pula telah mula mengeluarkan bunga.  Tugasan minggu hadapan -Cantasan perlu dilakukan pada tunas bahagian bawah

Monday, June 28, 2010

BIOTEKNOLOGI

Tapai pulut.......
Kebersihan yang utama.. basuh dan cuci tangan bersih-bersih
Tabur ragi sedikit demi sedikit kemudian gaul hingga rata
Masukkan ke dalam bekas plastik hingga 3/4 penuh , jangan dipadatkan atau terlalu padat
Tutup bekas tersebut
Simpan selama 48 jam untuk rasanya bertukar jadi manis, manisnya tapai akibat fermentasi.
Kalau nak tahu cara buat ragi pula kena klik dan tanya di sini Dr Abd Wahab

PADI 87 hari lepas tabur ( HLT )

Saat inilah yang dinantikan oleh ramai petani.
Ketika yang mana setiap hari satu demi satu tangkai padi akan mula keluar...
Makin hari bilangan tangkai yang mengurai makin banyak... makin best
Keluar satu persatu... menghitung hari kurang dari empat minggu lagi untuk menuai hasilnya.
Selain kami ada ramai lagi yang memerlukan hasil padi ini. Ada ramai lagi yang berhak untuk kami pulangkan hasil padi ini kepada mereka.... insyaallah

Friday, June 25, 2010

SOKONGAN UNTUK POKOK TERUNG

Balik dari Melaka pokok terung ini sudah membesar dua kali ganda dari sebelumnya walaupun baru ditinggalkan hanya beberapa hari sahaja. Jadi hari ini kami mengikat tali pada setiap pokok terung sebagai sokongan untuk mengelakkan pokok ini dari tumbang. Terdapat pelbagai usia pokok terung, dalam masa yang sama cili juga telah mula mengeluarkan buah jadi kami mengambil jalan tengah mengekalkan bacaan larutan EC pada 2.0 sahaja kerana semua tanaman ini menggunakan tangki nutrien yang sama.

Tuesday, June 22, 2010

Selalu di sawah tapi dalam minggu ini sebok memikirkan hal ini

Sunday, June 20, 2010

CUTI YANG MELETIHKAN TAPI SERONOK

Awal cuti pergi Penang, pertengahannya ke Kuala Lumpur dan di penghujungnya ke Kelantan. Hari ini ahad sempat periksa pokok cili dan terung. Nampaknya pokok terung ini tiada sebarang masalah.  
Kebannyakan pokok cili pula telah mula mengeluarkan buah, cuma beberapa pokok telah diserang penyakit kerinting.
Tak boleh tangguh, walaupun dah senja ambil tong bancuh racun serangga terus sembur.
Masih sempat ke sawah ... lega kerana nampaknya racun sistemik yang kami gunakan menunjukkan kesan positif bila melihat banyak induk ulat batang dan bena  ini kelihatan mati.  Sawah adalah lapangan eksperimen kami untuk melihat kesan penggunaan sesuatu bahan kimia.  Seronok bila kita mentahui teori dan dapat menguji serta melihat kesan sesuatu bahan kimia.
Esok nak ke Melaka untuk satu mesyuarat analisis, bila balik khamis nanti kena fikirkan bagaimana nak mengatasi masalah kepinding (kesing ) yang telah mula kelihatan di sawah.  Minggu ini padi telah mula mengurai, jadi bukan semua bahan kimia boleh digunakan secara sesuka hati pada saat pokok padi yang sensitif ini kerana tersalah langkah padi tidak akan berisi.
Ini adalah contoh kerosakan padi akibat kesing/kesisang/cenangau

Friday, June 18, 2010

PADI 77 HLT

Padi ketika ini sangat sensitif, perlu berhati hati dengan penggunaan sebarang bahan kimia(racun) kerana padi telah mula mengurai dan bijinya belum berisi. 
Adalah lebih baik menggunakan mesin rumput untuk kawalan rumpai di atas batas, penggunaan racun akan melembutkan tanah ( tiada cengkaman akar ).
Kawalan rumpai secara merumput di tepi batas adalah lebih selamat berbanding menggunakan racun yang boleh merencatkan padi.

Friday, June 11, 2010

HUJAN PADA 69 HLT

Agak aneh kerana kami terpaksa mengusahakan tanah sawah ini dengan berharapkan hujan sebagai sumber pengairan yang utama.  Cumanya dengan rahmat Allah setiap kali kami memerlukan air, hujan akan turun.  Kali pertama selepas "menyambau", kemudian  semasa aktiviti pembajaan yang pertama dan hari ini hujan juga turun dengan lebatnya.  Setiap kali hujan kami akan "kepung"  agar air hujan ini mampu bertahan lama (air hujan ini  boleh bertahan sehingga 2 minggu ).  Sumber air lain yang kami perolehi adalah dari budi baik lebihan air jiran-jiran sawah.
Esok 70 HLT kami akan melakukan kawalan kimia, dengan bantuan air hujan yang melimpah ini akan meninggikan paras air sawah ini. Paras air yang dalam akan memaksa serangga naik ke atas maka ini akan memudahkan tugas menyembur racun agar tepat ke sasaran.
 Gambar saluran masuk standard yang dibina oleh JPS kami tutup terus( bagi mengelakkan air hujan yang kami takung mengalir keluar) kerana air pengairan ini tidak pernah sampai ke paras tersebut.

Thursday, June 10, 2010

CARA CARA KAWALAN BENA

Ada beberapa persoalan yang sering diperkatakan oleh petani di kedai kopi tentang cara-cara kawalan ini, antara yang sempat saya ingati:
1. Unsur N sangat penting untuk hasil yang tinggi ( 170 kg N ) untuk hasil 10 tan . Urea cuma 46%N. Tanah yang memang masam menambah kurangnya kecekapan menyerap N oleh padi.
2.  Penanaman serentak : rata-rata petani terlalu bergantung kepada "nangau" kuasa dominan yang mengatur gerak kerja dan pergerakan traktor/jentera tani. Kerja menanam/menabur memakan masa lebih 2 minggu.
3.  Air sawah : Masih ramai yang merungut dan mengatakan masalah yang sukar untuk diselesaikan. Ada banyak sawah/sebahagian dari petak sawah yang masih bermasalah dengan air. Kesefahaman pengurusan air antara petani perlu dicapai
4. Kekalkan paras air hingga 2 minggu sebelum menuai : Tanah Sg Manik Labu Kubong kebanyakannya lembik- masalah jentera menuai akan terbenam bila musim hujan.
5. MSJ : petani kurang kesedaran kawalan biologi yang lambat berkesan.  Sekadar mengenali beberapa jenis serangga tetapi kurang pengetahuan tentang kawalan serangga melalui hidupan seni ( bakteria, virus dll) 
6.  Kawalan kimia selepas 40 hari : Serangan ulat  ratus, ulat batang dan ulat gulung daun telah bermula pada hari ke 10 HLT.  Kebanyakan racun kimia untuk ulat ini akan membunuh MSJ (pepatung, labah-labah dll).
7. Racun yang disyorkan : Racun "yang tidak disyorkan" walaupun berbahaya kepada kesihatan tetapi menarik minat kerana harga yang rendah.  Ada ramai petani yang menggunakan lebih 6 jenis racun kimia untuk setiap semburan.

Hampir tiada petani yang memperkatakan kaedah bioteknologi / EM ..............??????????

Apapun saya berminat dengan beberapa cara tersebut:
1.  Hanya menabur baja urea pada kuantiti paling sedikit : gunakan kapur utk meningkatkan kecekapan.
     Padi yang kurus dan tidak padat biasanya tidak menarik perhatian bena.
2. Kekalkan paras air sawah. Tahan air hujan dan kurangkan kebocoran batas sawah
3. Tebas dan bakar jerami padi pada kadar segera selepas menuai

BUAH CILI PADA 6 JUN 2010

Cili kami telah mula berbuah . Gambar diambil pada 6 jun 2010.  Tarikh diubah ke polibeg pada 5 Mei 2010.
Bagi mengelakkan pokok cili ini dari tumbang akibat beban yang semakin bertambah, kami telah menambah sokongan kepada  4 unit tali sokongan bagi setiap polibeg.

KAWALAN RUMPAI SECARA INSANI ( 68 HLT )

Bahagian sawah yang kering biasanya akan mengundang masalah rumpai. Pokok padi bercampur dengan rumpai akan menyebabkan kawasan berkenaan sangat padat dan menarik minat kediaman serangga. 


Bagi mengawal rumpai di atas kami menggunakan racun selektif di atas pada kadar tertentu.  Semburan adalah secara layang pada bahagian atas daun rumpai. Kawalan kimia untuk rumpai ini hanya boleh dilakukan sebelum ada tanda-tanda  padi  mahu  bunting (sebelum 60HLT ).



...cumanya selepas rumpai ini menjukkan tanda-tanda "terencat" kerana terbakar akibat racun tersebut, masalah lain pula yang timbul,kawasan ini  telah menarik minat bena dengan ciri-ciri suhu rendah dan cahaya "gelap" di bawah rimbunan tumbuhan itu.
Cara paling berkesan kami cabut sahaja rumpai itu dengan tangan (kaedah insani).  Hasilnya memberi ruang yang lebih "selesa" kepada pokok padi ini.

Monday, June 7, 2010

PADI 65 HLT (HARI LEPAS TABUR )- SEMBURAN BASAH, SEMBURAN BERKABUS

Kira-kira dua minggu lagi padi ini akan mula "mengurai".  Selepas tepoh itu kami perlu berhati-hati dalam penggunaan bahan kimia, tersalah pilih akan menjejaskan hasil.
Hasrat kami bagi memastikan daun padi ini tumbuh tegak ternyata berhasil.  Daun yang tegak memudahkan kawalan serangga disamping penerimaan cahaya yang lebih berkesan bagi setiap helai daun.  
 
Bagi memastikan daun ini kekal tegak kami mengurangkan penggunaan baja urea, sebaliknnya menggunakan kapur cecair untuk menambah kecekapan penyerapan nutrien oleh akar padi.  Kesannya daun akan sedikit kekuningan, namun itu tidak menjadi masalah kerana matlamat kita ialah buah padi, daun yang terlalu hijau lagi lebat hanya akan mengundang masalah perosak dan penyakit.
Cuma di beberapa bahagian sawah ini kami masih bergelut dengan masalah air, kawasan yang kering ini kini telah menjadi "tumpuan bena" yang bersarang "di bawah" rimbunan pokok padi.
Amalan meracun yang salah tidak akan dapat menyelesaikan masalah bena:
1.  Sukatan mestilah tepat.
2. Keadah meracun juga kena tepat ke sasaran, semburan hanya secara berkabus pada bahagian atas pucuk daun padi tidak akan menyelesaikan masalah bena.

Bagi menyelesaikan masalah bena antara racun yang kami gunakan ialah:
1. Confidor. RM 180/500ml
2. Sarzorin. RM 60/1 lt
3. Actra.
4. Malathion. RM 60/4 lt
5.Lanmertin. RM 70 / 500ml
nota; penggunaan racun tersebut adalah secara berselang seli.
 
Setiap kali kawalan kimia kami akan mencampurkan racun di atas dengan racun berjenama Match atau Alosa bagi mengawal ulat dan penetasan telur serangga.

  ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO